Wednesday, March 9, 2011

Islam bukan hanya di sekolah agama

Izzati. Indah nama itu. Secantik dan semulia akhlak insan yang menjadi  pemegangnya. Hidup di IPIS (Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan  Islam) memang merupakan impiannya sejak sekian lama. Sudah hampir 3 tahun  dia berdoa agar dirinya nanti dihantar ke suatu tempat yang dia kira  cukup Islamik ,agar mudah untuk dia mengubah diri serta jalan  hidupnya.

Bukan selama ini dia tersesat, cuma dia ingin menjadi seseorang  yang baru, berbeza dengan dirinya yang dahulu. Sungguh Allah itu Maha  Mendengar. Mengalir air mata suci daripada sepasang mata yang sering  melemparkan pandangan bening itu. Begitu dia bersyukur apabila doanya  dijawab. Subhanallah. Allah itu Maha Berkuasa.

6 bulan pertama berada di IPIS sudah cukup untuk merubah  segala-galanya tentang dirinya. Usahkan penampilan, cara pergaulan dan  percakapannya berubah sama sekali. Dia kini seorang yang serba  baru. Meskipun begitu, dia tidak pernah lupa asal usulnya. Siapa dia,dari  mana dirinya.

Setelah 6 bulan berada di IPIS, sudah tibalah masanya untuk pulang ke  pangkuan keluarga tercinta. Sedih juga rasanya untuk meninggalkan IPIS  yang kini sudah menjadi sebahagian daripada jiwanya.

"Assalamualaikum!! Izzati dah sampai!! Mak, Ayah!!" Terdengar  suaranya yang lantang memecah keheningan subuh...

"Wajah insan tersayang  kini sudah berada di depan mata. Apalagi, pergilah peluk!", gertak jiwa  kecilnya.Tidak tergambar rasa gembiranya hati apabila dapat mengucup  pipi ibu serta ayah tercinta.

Perubahan Izzati sedikit sebanyak telah mempengaruhi orang di  sekelilingnya. Ada yang boleh menerimanya dengan baik. Tidak kurang juga  yang memandang serong terhadapnya. Tetapi, bukan itu yang Izzati  risaukan. Kini, dia sudah ada tanggungjawab besar yang akan disoal di  akhirat kelak. Tanggungjawab untuk menyampaikan ilmu yang ada  padanya. Ilmu yang masih sangat sedikit itu ingin dia kongsikan bersama  dengan harapan mereka akan turut merasakan betapa manisnya hidup  mengikut acuan Islam sejati.

Perjuangan Izzati tidak mudah. Untuk mengubah keluarga sendiri pun dia  masih tertatih-tatih. Walaupun begitu dia tidak pernah berputus  asa. Hampir setiap hari, ada sahaja terdengar suaranya memenuhi rumah  dengan nasihat serta pengajaran yang penuh bermakna. Ada kalanya kaum  keluarga mendengar dengan penuh perhatian. Ada pula waktunya Izzati  seperti berbicara sendirian kerana orang-orang di sekelilingnya sudah  bosan dengan ucapan yang agak sama setiap hari. Tetapi, tidak pernah pula  sikap seperti itu merubah semangat Izzati.

Hari itu Izzati pergi menziarahi neneknya yang kurang sihat di  kampung. Alangkah gembiranya Izzati apabila dia menemui seorang sahabat  lama yang dahulunya turut bersamanya bermain teng-teng dan meneruskan  perjuangan bersama sehingga ke sekolah menengah. Tetapi,dalam kegembiraan  tersebut timbul sedikit kesedihan di hati Izzati. Lia yang dia kenali  dahulu sudah berubah sama sekali.T udung tidak lagi menutup  rambutnya. Rambutnya kini pula sudah dihiasi dengan segala jenis macam  warna yang menyakitkan mata yang memandang. Belum lagi ditambah dengan  tindikan-tindikan di telinga yang melemaskan jiwa. Baju yang nipis dan  ketat.Pergaulan dengan lelaki?? Tidak mampu Izzati membicarakan perihal  Lia yang selanjutnya.

"Lia, kenapa Lia berubah? Kenapa Lia tak pakai tudung? Rambut Lia  ni... dulu kan cantik.. Lia dah lain sangat. Janganlah macam ni Lia. Zati  rindu Lia yang dulu. Lia yang lembut, sopan, pemalu, yang jaga aurat dan  yang paling penting, jaga pergaulan..." keluh Izzati pada suatu petang  yang sunyi.

Lia hanya mendiamkan diri. Mungkin sedikit terkesan di hatinya apabila  kata-kata seperti itu diucapkan oleh sahabat karibnya sendiri. Memang  dia akui kata-kata Zati itu betul semuanya. Tetapi, suasana di kampung  memang telah banyak mempengaruhi gaya hidup Lia. Bergaul dengan remaja  sebayanya yang bermasalah telah betul-betul menjadikan Lia insan yang  berbeza. Dengan nada yang agak keras, Lia menjawab segala persoalan yang  Izzati ajukan padanya.

"Zati... Zati kne ingat. Ini kampung. Bukan macam tempat Zati IPIS tu  Islamik. Memanglah senang Zati nak kekalkan diri Zati yang baik  ni. Kampung ni. Macam-macam ada. Orang-orang yang tinggal dalam kampung ni  bukan sembahyang sangat pun. Kalau dah yang tua-tua itu pun tak dapat  nak jadi contoh, macam mana kita orang yang muda ni nak jadi baik? Zati  patut ajar yang tua-tua tu dulu, baru ajar Lia. Zati cakap  senanglah. Nanti, kalau Zati dah lama-lama kat sini, mesti Zati pun  berubah. Takkan bertahannya diri Zati yang sekarang ni. Percayalah cakap  Lia .Zati janganlah nak jadi hipokrit. Buat-buat baik kat sini untuk  tunjuk kat kita orang semua. Lia tahu Zati ni siapa. Pasal tudung dan  rambut tu, tempat ni lain Zati. Kalau kat IPIS Zati wajib pakai tudung  labuh ,kat sini tidak ada peraturan macam itu. Jangan pula Zati nak  wujudkan peraturan sendiri. INI BUKAN IPIS!"

"Astarghfirullahalazim! Lia! Kenapa Lia cakap macam itu?! Islam itu  ada di mana-mana Lia. Bukan dekat IPIS sahaja. Sebagai umat Islam sejati,  sudah menjadi kewajipan kita untuk mematuhi segala suruhan dan  meninggalkan segala larangan Allah walau di mana pun Lia berada. Jangan  jadikan suasana kampung ini sebagai alasan untuk Lia berubah. Lia, kalau  orang di sekeliling Lia tidak mampu untuk mendidik Lia, Lia patut didik  dan kuatkan diri sendiri. Memang tidak mudah Lia. Zati pun tak rasa mudah  untuk kekal begini. Tetapi, itulah hakikatnya. Kita takkan mampu untuk  berubah sekiranya kita sendiri tidak berusaha. Ingat Lia. Allah tidak akan  mengubah nasib sesuatu umat itu sehingga mereka sendiri berusaha untuk  berubah.." berlinang air mata suci Izzati tatkala mengucapkan kata-kata  tersebut.Sungguh tidak disangka,sampai begitu sekali Lia berubah.Baru 6  bulan mereka berjauhan ,Lia sudah jauh pergi meninggalkan agamanya.

"Ala...Janganlah Zati nak buat-buat suci kat sini. Tempat ni lain  Zati. LAIN! Zati pakai macam ni,tudung-tudung yang macam 'khemah  bergerak' ni, Zati ingat orang sanjung Zati ke? Budak-budak kampung  ni... hari-hari mengumpat Zati.. Zati datang je dia orang gelarkan Zati 'khemah bergerak'. Kelakarlah Zati. Janganlah pakai macam ini lagi  Zati. Tak sesuai kat sini. Kita dekat kampung, buatlah macam cara dekat  kampung. Nanti, kalau Zati dah balik IPIS, sesuailah Zati pakai macam  ni. Memang wajib dekat sana kan? Dekat sini tak pun.." Dengan nada  selamba Lia mengucapkan kata-kata tersebut.

Zati hampir pengsan apabila mendengar kata-kata seperti itu diucapkan  oleh sahabatnya sendiri. Bertambah pilu dan sedih hatinya. Bukan kerana  gelaran 'khemah bergerak' itu atau umpatan orang kampung, tetapi  kerana cara hidup sahabatnya yang kini semakin jauh dari Allah. Dalam  diam Zati berdoa di dalam hati agar dosa-dosa sahabatnya itu diampunkan  oleh Allah dan dibukakan semula pintu hatinya untuk kembali pada  Islam. Sungguh kasih dia pada sahabatnya ini sehingga tidak sanggup dia  untuk melihat Lia tersiksa di akhirat kelak. Azan maghrib yang  berkumandang menyedarkan Zati. Cepat-cepat dia menyeka air matanya. Dia  segera membetulkan tudungnya.

"Lia, jom balik.Dah masuk waktu maghrib. Kita solat. Hari ini kita baca surah an-nisa' serta tafsirannya sekali."

Teringat Izzati saat-saat indah dahulu di mana dia dan Lia seringkali  membaca al-quran bersama-sama dan bertadabbur di surau berhampiran rumah  neneknya. Sungguh indah waktu itu.

"Jom Lia.." Izzati menarik lembut tangan sahabatnya itu.

"Takpe. Zati pergilah! Hati Lia sudah tertutup untuk itu. Lia nak  keluar dengan kawan-kawan Lia kejap lagi ni. Bila Lia dah dapat SERU  nanti Lia solat. Kita masih muda Zati .Masih banyak masa untuk kita. Zati  ni macam org tua la. Sibuk beribadah macam dunia ni dah nak kiamat. Dia  orang patutlah buat macam itu. Umur pun dah tak panjang.Kita ni muda  lagi".

Astarghfirullahalazim. Pedih sekali hati Izzati mendengarkan kata-kata  sahabatnya itu. Izzati sudah tidak mampu lagi berdiri di situ. Dia segera  berlalu. Kudratnya sudah lama habis. Lemah dirinya apabila mendengarkan  kata-kata Lia. Di dalam hati Izzati banyak-banyak berdoa dan meminta  keampunan kepada Allah di atas kelemahannya yang tidak mampu untuk  membantu sahabatnya itu.Dia pergi meninggalkan Lia dengan linangan air  mata.

Setelah hampir dua bulan bercuti, kini Izzati akan kembali semula ke  IPIS untuk semester kedua. Perjuangannya kali ini pasti lebih  sukar. Azamnya kali ini lebih tinggi. Bila dia kembali lagi nanti, dia  akan buat lebih banyak lagi.

"Zati!!" Terdengar sayup-sayup suara Lia memanggilnya dari jauh. Zati menoleh ke belakang.

"Lia...dah lama tak jumpa Lia. Zati nak balik dah ni. Nanti Zati  datang sini lagi. Ingat Lia .Islam itu ada di mana-mana. Bukan di IPIS  saja. Di sini juga.. di HATI..." ucap Zati smbil meletakkan kedua-dua  tangan sahabatnya di dadanya.

Kemudian Izzati berlalu pergi.Dengan linangan air mata, dia berharap  agar pintu taubat masih terbuka untuk sahabatnya itu. Lia hanya terdiam  dan tergamam. Masih cuba untuk memahami kata-kata Izzati tadi.

from here . . .

No comments:

Post a Comment

Ratings and Recommendations by outbrain