Saturday, November 8, 2014
Aku Sebuah Rak - " Futur tanpa Al-Quran "
Aku sebuah rak.
Kadang-kadang, kawan aku panggil aku para atau para-para sampaikan segelintir manusia pun turut panggil aku dengan nama tu seolah-olah mereka dapat mendengar suara kami si perabot . Tapi, yang penting, nama penuh aku ialah rak buku sebab itulah yang ditulis pada tampalan kertas yang melekat pada badan aku di kedai perabot dulu kala.
Aku hidup bahagia sejak dibawa pulang oleh sang tuan yang masih muda umurnya. Dalam 20-an mungkin. Bahagia di sini bermaksud diisi adalah kerana dapat memberi khidmah kepada tuan ku dengan mengisi buku-buku ilmiah, dan yalah, beberapa komik. Dan yalah, bahagia juga aku kerana dibersih, disapu-sapu habuk yang ada di celah-celah badanku, paling kurang sebulan sekali. Aku rasa serba cukup dan sebab itulah aku kata aku bahagia.
Pada suatu hari, aku terlihat tuan aku memegang sebuah buku sambil menghampiri aku. Aku mengukir senyuman kepada tuan aku walaupun aku tahu dia tak akan nampak. Dia letakkan buku itu di bahagian paling tinggi badan aku lalu beredar pergi. Aku selaras itu memalingkan pandangan aku kepada buku itu.
"Bukan calang-calang buku ni sampai sang tuan aku letakkan di bahagian bercermin (tempat eksklusif bagi sebuah rak buku)"
Al-Quran.
Itu namanya.
"Al-Quran? Tuan aku rupanya pandai bahasa Arab juga rupa-rupanya!"
Tiada buku bahasa lain yang aku kandung dalam badan aku sebelum ini melainkan bahasa melayu dan bahasa inggeris. Ternyata tuan aku ini pandai bahasa juga lah kan.
Sejak itu, setiap pagi dan malam, sebelum kelas dan selepas kelas, tuan aku akan mencapai buku itu lalu membacanya kuat-kuat, beralun, lunak tidak seperti buku-buku lain. Aku hairan juga.
"Eh kemain lagi tuan aku ni. Sedap pulak suara dia. Buku apakah itu yang sungguh istimewa sampaikan tuan aku ini membacanya sebegitu rupa?!"
Aku juga turut terhibur dengan bacaan sedap tuan aku walaupun aku tidaklah faham apa yang dibacanya. Hari-hari tuan aku kelihatan seperti seorang penghibur yang mahu menghiburkan aku. Walaupun kedengaran 'perasan gila kau, si para-para', namun itulah yang aku fikir. Lagi, sikap dan perangai sang tuan juga menjadi lebih baik, dan soleh nampaknya. Bertambah-tambahlah kebahagiaan aku hidup bersama tuan aku.
Usia aku semakin lanjut. Namun badanku masih gagah kerana ketika aku muda-muda dahulu aku telah dilatih bak mengangkat dumbell oleh tuan aku kerana selalu menyimpan buku-buku yang berat seperti Kamus Dewan, Dictionary Oxford, dan Biology SPM.
Sang tuan aku pun begitu. Kini sudah beranak pinak. Kaya. Hidup mewah. Bini tuan pun cantik secantik selebriti-selebriti yang aku lihat di majalah-majalah tersimpan dalam badan aku ini.
Selain sudah tidak membaca majalah-majalah selebriti dan komik, ada satu jenis buku lagi tuan aku sudah tidak baca seperti dulu. Dan ini membuatkan aku rasa lagi tua. Sepi.
Ya. Al-Quran. Suara alunan kalimah-kalimah yang aku rasa sungguh menenangkan daripada mulut sang tuan sudah tidak lagi aku dengar. Sungguh aku merindukannya. Al-Quran itu diletakkan di suatu sudut yang sama tapi sudah lama tak dicapai. Berhabuk. Kehidupan sang tuan telah berubah. Hampir-hampir sahaja 180 darjah. Atau sudah 180 darjah?! Entah. Aku tak pandai matematik. Aku hanya sebuah rak buku.
Siang malam dahulu yang dihabiskannya bersama-sama Al-Quran kini bertukar menjadi siang malam bersama-sama kertas-kertas yang melambak di atas mejanya. Kelam-kabut sahaja sang tuan kelihatan sekarang. Sibuk agaknya. Yalah, untuk hidup mewah-mewah begini pasti ada sesuatu yang perlu dibayar kan!?
Dan hari ini, suara dan muzik-muzik yang berdendang dalam rumah sang tuan hanyalah yang rancak-rancak dengan bahasanya yang tak sopan. Kacau bilau. Kadang-kadang terdengar sahaja suara-suara bertikam lidah antara lelaki dan perempuan. Tak hadir rasa ketenangan seperti dahulu.
Aku merenung tajam kepada buku yang bernama Al-Quran itu. Seolah-olah ada sentuhan magika oleh buku itu. Aku rasa serba salah. Tak tahu mahu kasihan atau marah kepada sang tuan aku kerana memilih kehidupan yang sebegini.
Tapi kalau aku jadi sang tuan, pasti aku pilih Al-Quran!
-budak hiro-
Labels:
Cerpen,
Deenee,
Qissoh,
Tadabbur,
Tulis-tulis
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment