Wednesday, November 19, 2014

" Exam? Bertukar! "

Cuba teka, bilakah masa seseorang itu paling baik dan bagus?

Ha, tekalah!

.

..

...

Tau tak?

Jawapannya ialah.....

Ketika musim peperiksaan!

Sebenarnya, boleh juga jadi sepanjang musim peperiksaan sampailah keluar keputusan.

Em, sebenarnya, boleh juga diaplikasikan untuk ketika musim mencari kerja, mencari laki/bini, dan seumpamanya.



Senang cerita, apabila berlaku sesuatu yang akan mengeluarkan sesuatu keputusan yang kita, manusia tak boleh teka, jangka, agak, seseorang itu tiba-tiba berubah menjadi seorang yang baik (kalau sebelum ini err, kurang baik) dan menjadi seorang yang lebih baik (bagi orang yang sudah baik). Betul ke?

Lebih-lebih lagi kalau perkara itu akan merubah masa depan kita, macam keputusan peperiksaan SPM, dan keputusan penerimaan pekerjaan di Google Inc. (obvious lah kan)

Dan dialog seperti berikut memang kita dah bosan mendengar :

" Hai kau, tiba-tiba je memanjang duk atas sejadah ni kenapa?! Oh aku tau. Sebab exam ekkk?! "

(sambil muka minta penumbuk)

" Eh, tak pernah aku nampak kau ke masjid, tapi semenjak sehari dua ni, tak pernah miss solat kat masjid. Esok kiamat kah?! "

" Amboi, sedap suara jugak kau mengaji al-Quran ya! Selalu yang aku dengar mengaji dangdut je! HAHA! "

Sesetengah orang kata,

" Ha, memang betul pun, dah kau tiba-tiba buat-buat baik masa musim exam je, munafik tau! "

Tapi saya akan kata,

" Rasulullah s.a.w dan Huzaifah al-Yamani sahaja yang tahu siapa orang munafik di zamannya. Abu Bakar r.a, Umar al-Khattab, r.a, dan lain-lain, semuanya tak tahu siapa yang munafik sebenarnya. Malah, Hanzalah r.a dan Abu Bakar r.a juga pernah merasa diri mereka munafik. Kau? "

Kerana akhirnya, hanya Allah sahaja yang tahu siapa yang munafik sebenarnya. Kita sendiri juga mesti check, bahawa adakah sikap-sikap munafik dalam diri kita. Bukan senang-senang tunjuk pada orang lain.

Kadang-kadang, ramai sahaja yang berubah menjadi lebih baik ketika musim peperiksaan dan istiqamah dengan perbuatan yang sesetengah kata munafik itu.

Kerana hanya Allah yang mampu memberi hidayah kepada seseorang itu bila-bila masa sahaja yang Dia mahu.



"Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu bertemu dengan sesuatu pasukan (musuh) maka hendaklah kamu tetap teguh menghadapinya, dan sebutlah serta ingatlah Allah banyak-banyak, supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan) "

(Surah al-Anfaal, ayat 45)


Bahkan, ahli badar sendiri disuruh untuk mengingati Allah sebanyak-banyaknya ketika menghadapi ujian peperangan, jadi tidak salah lah untuk mereka yang menambahkan amalan mereka ketika musim peperiksaan (peperiksaan : segala peperiksaan, tidak hanya memfokuskan peperiksaan di sekolah sahaja). Malah, itu lebih baik, bukan?

Sesetengah daripada kita mudah sangat judge orang lain sehinggakan mereka lupa akan diri sendiri. Dan perkara ini juga terjadi pada para da'ie hari ini. Merasakan diri hebat daripada orang lain. Sifat itu sendiri sudah menunjukkan anda tidak hebat.

Apa yang kita perlu lakukan bersama-sama sekarang ialah berhenti cakap pasal orang lain. Mula muhasabah diri. Jangan merasakan diri hebat sehinggakan diri sendiri pula yang menjadi lebih jauh daripada Tuhan!

Semoga setiap peperiksaan yang kita lalui dapat menjadikan kita bertukar menjadi manusia yang semakin baik, semakin taqarrub dengan Allah s.w.t dan bukan sebaliknya.

Amiin.



-budak hiro-


Saturday, November 8, 2014

Aku Sebuah Rak - " Futur tanpa Al-Quran "



Aku sebuah rak.

Kadang-kadang, kawan aku panggil aku para atau para-para sampaikan segelintir manusia pun turut panggil aku dengan nama tu seolah-olah mereka dapat mendengar suara kami si perabot . Tapi, yang penting, nama penuh aku ialah rak buku sebab itulah yang ditulis pada tampalan kertas yang melekat pada badan aku di kedai perabot dulu kala.

Aku hidup bahagia sejak dibawa pulang oleh sang tuan yang masih muda umurnya. Dalam 20-an mungkin. Bahagia di sini bermaksud diisi adalah kerana dapat memberi khidmah kepada tuan ku dengan mengisi buku-buku ilmiah, dan yalah, beberapa komik. Dan yalah, bahagia juga aku kerana dibersih, disapu-sapu habuk yang ada di celah-celah badanku, paling kurang sebulan sekali. Aku rasa serba cukup dan sebab itulah aku kata aku bahagia.

Pada suatu hari, aku terlihat tuan aku memegang sebuah buku sambil menghampiri aku. Aku mengukir senyuman kepada tuan aku walaupun aku tahu dia tak akan nampak. Dia letakkan buku itu di bahagian paling tinggi badan aku lalu beredar pergi. Aku selaras itu memalingkan pandangan aku kepada buku itu.

"Bukan calang-calang buku ni sampai sang tuan aku letakkan di bahagian bercermin (tempat eksklusif bagi sebuah rak buku)"

Al-Quran.

Itu namanya.

"Al-Quran? Tuan aku rupanya pandai bahasa Arab juga rupa-rupanya!"

Tiada buku bahasa lain yang aku kandung dalam badan aku sebelum ini melainkan bahasa melayu dan bahasa inggeris. Ternyata tuan aku ini pandai bahasa juga lah kan.

Sejak itu, setiap pagi dan malam, sebelum kelas dan selepas kelas, tuan aku akan mencapai buku itu lalu membacanya kuat-kuat, beralun, lunak tidak seperti buku-buku lain. Aku hairan juga.

"Eh kemain lagi tuan aku ni. Sedap pulak suara dia. Buku apakah itu yang sungguh istimewa sampaikan tuan aku ini membacanya sebegitu rupa?!"

Aku juga turut terhibur dengan bacaan sedap tuan aku walaupun aku tidaklah faham apa yang dibacanya. Hari-hari tuan aku kelihatan seperti seorang penghibur yang mahu menghiburkan aku. Walaupun kedengaran 'perasan gila kau, si para-para', namun itulah yang aku fikir. Lagi, sikap dan perangai sang tuan juga menjadi lebih baik, dan soleh nampaknya. Bertambah-tambahlah kebahagiaan aku hidup bersama tuan aku.

Usia aku semakin lanjut. Namun badanku masih gagah kerana ketika aku muda-muda dahulu aku telah dilatih bak mengangkat dumbell oleh tuan aku kerana selalu menyimpan buku-buku yang berat seperti Kamus Dewan, Dictionary Oxford, dan Biology SPM.

Sang tuan aku pun begitu. Kini sudah beranak pinak. Kaya. Hidup mewah. Bini tuan pun cantik secantik selebriti-selebriti yang aku lihat di majalah-majalah tersimpan dalam badan aku ini.
Selain sudah tidak membaca majalah-majalah selebriti dan komik, ada satu jenis buku lagi tuan aku sudah tidak baca seperti dulu. Dan ini membuatkan aku rasa lagi tua. Sepi.

Ya. Al-Quran. Suara alunan kalimah-kalimah yang aku rasa sungguh menenangkan daripada mulut sang tuan sudah tidak lagi aku dengar. Sungguh aku merindukannya. Al-Quran itu diletakkan di suatu sudut yang sama tapi sudah lama tak dicapai. Berhabuk. Kehidupan sang tuan telah berubah. Hampir-hampir sahaja 180 darjah. Atau sudah 180 darjah?! Entah. Aku tak pandai matematik. Aku hanya sebuah rak buku.

Siang malam dahulu yang dihabiskannya bersama-sama Al-Quran kini bertukar menjadi siang malam bersama-sama kertas-kertas yang melambak di atas mejanya. Kelam-kabut sahaja sang tuan kelihatan sekarang. Sibuk agaknya. Yalah, untuk hidup mewah-mewah begini pasti ada sesuatu yang perlu dibayar kan!?

Dan hari ini, suara dan muzik-muzik yang berdendang dalam rumah sang tuan hanyalah yang rancak-rancak dengan bahasanya yang tak sopan. Kacau bilau. Kadang-kadang terdengar sahaja suara-suara bertikam lidah antara lelaki dan perempuan.  Tak hadir rasa ketenangan seperti dahulu.

Aku merenung tajam kepada buku yang bernama  Al-Quran itu. Seolah-olah ada sentuhan magika oleh buku itu. Aku rasa serba salah. Tak tahu mahu kasihan atau marah kepada sang tuan aku kerana memilih kehidupan yang sebegini.


Tapi kalau aku jadi sang tuan, pasti aku pilih Al-Quran!




-budak hiro-

Thursday, November 6, 2014

Bisikan Media dan Orang Pandai

Dunia hari ini.

Kalau nak buat fitnah, tuduhan dan buat nampak macam real sangatlah senang.

Kalau dulu, ekspresi muka, bahasa dan nada suara khabar angin menjadikan sesuatu berita tampak benar. Tapi, hari ini, semua tu tak perlu. Gambar, video sudah cukup buat orang ramai hari ini percaya. Begitu sahaja.

Semua ini kerana fikiran orang ramai yang..........(isi tempat kosong). Mudah sangat percaya khabar angin. Mudah sangat terpedaya dengan gambar yang mungkin telah di-edit dengan mudah sekali oleh orang yang pandai dalam bidang tu. Percaya bulat-bulat dengan mana-mana video walaupun video itu samar-samar sahaja menunjukkan wajah insan dalam video tersebut.

Apakah ciri orang yang boleh dikatakan pandai?

Tidak mudah ditipu!

Kerana mereka ini pandai menilai, menganalisis , mendengar dahulu daripada pelbagai pihak, baru lah buat keputusan.


"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah kebenarannya, supayakamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini-dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan."

(Surah al-Hujuraat, ayat 6)


Kalau kamu orang yang beriman, buatlah seperti yang disarankan di atas. Insyaa Allah kamu juga merupakan orang yang pandai.

*Thumbs up*

Saya sangatlah mengharapkan bahawa mereka yang sanggup membuat video-video dan gambar-gambar yang dusta lagi menipu itu bukanlah daripada kalangan muslim.

Yalah. Sanggup menjatuhkan muslim yang lain. Itu simply bukan watak seorang muslim! Apatah lagi menuduh seorang yang siang malam mengenang nasib umat dan cuba menarik minat orang ramai untuk mendekati kembali kepada agama fitrah. Tuduhan dan fitnah seperti ini hanya mengingatkan saya kepada seruan dakwah pada zaman Makkah dahulu. Hanya orang kafir sahaja yang menuduh Nabi yang bukan-bukan.

Tapi, tuduhan itu hanya memberi kesan kepada segelintir mereka yang bukan Islam. Manakala orang Islam ketika itu langsung tidak tergugat kepercayaan mereka kepada Nabi s.a.w.

Tapi hari ini?!

*Tunduk*

Bo bo la wehhh.
Udah-udah la tu...

...

Surah al-Hujuraat sangat best untuk dibaca, ditadabbur dan dibaca tafsirnya kerana antara persoalan surah itu termasuklah hubungan dan pergaulan antara orang yang beriman. 

Juga termasuklah ada perbezaan antara muslim dan mukmin.

Nak tau? Pergi selak al-Quran tuh!


-budak hiro-

Wednesday, November 5, 2014

Ya, aku budak sekolah agama, tapi aku bukan malaikat.

Mungkin sebelum ini saya sudah membicarakan tentang perkara ini, tapi tak apa. Apa salahnya kan?

Dulu saya pernah ke suatu kem semasa saya masih di sekolah. Kem ini hanya khusus untuk budak-budak sekolah agama kerajaan/ harian. Kem persediaan untuk PMR.

Opkos, saya sangat teruja untuk pergi ke kem tu sebab penat belajar di sekolah, hari-hari dengan rutin yang sama, 7.30 kena sudah berada dalam kelas, belajar sampai pukul 3.00 petang. Penat. Bosan. Dah la kem itu diadakan di hotel. So, memang sangat bersemangat untuk pergi ke kem tu!

Kem tu macam biasalah, menyentuh pasal teknik menjawab, cara tackle soalan, oleh cikgu-cikgu handal lagi hebat dalam negeri.

Pendekkan cerita, waktu subjek Sains, seorang cikgu lelaki ini seolah-olah tak dapat tahan lagi lalu marah-marah kami. Meluahkan segala yang terpendam dalam fikirannya selama ini mungkin.

"Kamu ini sekolah agama, mana disiplin kamu? Kamu ini sekolah agama, mana hormat kepada cikgu kamu? Kamu ini sekolah agama, mana semangat belajar kamu?!"

Kami berasa hairan dan pelik, " Apakah?!"

Sebenarnya panjang lagi, (dan tak ingat sangat dah), tapi, semua persoalannya memang tepat atas dahi kitorang. Terbakar sebentar. Kalau dihadam semula apa yang dia cakap tu, memang semuanya betul dan saya yakin dia luah semua itu sebab dia mahu budak sekolah agama berubah, sebab...sekolah agama kot! Jenama itu mahal. Agama itu terpalit pada budak sekolah agama, begitulah lebih kurang persepsi orang kita terhadap budak sekolah agama.

Yalah, kalau nak dibandingkan budak sekolah agama dengan budak sekolah elit yang lain, memang jauh beza dari semua aspek lah! Dari akademik, sukan, disiplin, dan mungkin akhlak sekali pun! Jadi, " Apa beza kamu dan dia? ".

Sebenarnya budak sekolah agama menggalas tanggungjawab yang boleh saya kira besar dan berat. Kerana 'sekolah agama' itu menjadi kayu ukur kepada orang-orang muda hari ini.

"Haaa, kalau budak sekolah agama pun macam ni, budak-budak lain lagi lah!"

"Hancur lah masa depan negara kita, budak sekolah agama pun jadi mat rempit"

Ya, budak sekolah agama juga manusia biasa. Bukan malaikat. Tak terlepas daripada kesilapan. Tapi, itulah apa yang berlaku.

Tapi, semua pelajar yang mahu masuk sekolah agama, mestilah ingat akan tanggungjawab ini.

"Kamu memegang "A" (SMKA atau SMA) yang tidak dipegang oleh budak sekolah lain. Kalau hilang "A" kamu, apa gunanya?"

- itulah kata-kata ustazah saya 6 tahun yang lepas.

"Ingatlah, SMKA kamu itu ialah Sentiasa Mencari Keredhaan Allah. Kamu perlu pegang itu bukan hanya di sekolah sahaja, tapi sampai kamu mati, tau!" , pesannya lagi.

Oh, aku tak akan lupakan mutiara kata ini.

Secara konklusinya, selepas saya graduate daripada sekolah agama yang saaangat saya cintai selama 5 tahun ini, saya berkata kepada diri saya, "Bukan budak sekolah agama je yang perlu belajar agama dan faham agama. Budak sekolah lain pun mesti belajar benda-benda ni. Sebab budak-budak lain pun beragama Islam jugak. Bukan budak sekolah agama sahaja perlu menjadi beragama!"

Apa yang saya maksudkan ialah bukan sahaja dari segi mata pelajaran yang dipelajari, tapi dari semua segi. Dari ikhlitat lelaki perempuan (pengasingan dalam kelas, dalam kantin, dan lain-lain), budaya membaca al-Quran sebelum mula kelas, dan lain-lain. Kalau semua sekolah buat macam tu, saya pasti ada perubahan walaupun sedikit, insyaaAllah.

gambar hiasan


"Kita orang Islam hari ini seperti cermin lutcahaya kepada lilin (Islam) di dalam rumah. Orang bukan Islam tak nampak cahaya lilin itu menerusi kamu. Kamu telah menghalang cahaya Islam itu sendiri!"

- kata-kata yang tak pernah saya lupakan oleh seorang al-akh di kolej dua tahun yang lepas.


-budak hiro-

Ratings and Recommendations by outbrain