Tersebutlah kisah suatu ketika dahulu, sebuah empayar yang besar lagi disanjungi yang bernama Wilayah. Kawasan tanah jajahan Wilayah merangkumi hampir satu bumi seluruhnya; timur dan barat. Rakyat jelata di semua negara berada dalam keadaan yang sangat bahagia dan bersyukur di saat pemerintahan sang pemimpin yang adil menjadikan Wilayah aman dan damai.
Pembangunan dari setiap sudut ekonomi, politik, teknologi dan sosial dari hari ke hari, hasil daripada ketaatan kepada Tuhan dari sang pemimpin hinggalah ke rakyat jelata. Dari hari ke hari juga semakin ramai yang berminat untuk bertandang ke Wilayah untuk mempelajari segala ilmu dan rahsia kejayaan empayar ini.
Namun, manusia itu mudah lupa. Kerana perkataan manusia itu sendiri dasarnya memiliki sifat lupa. Apabila terlupa, perlulah diperingatkan kembali. Maka, runtuh lah empayar Wilayah yang suatu dahulunya gah, hanya kerana sekumpulan kecil puak Sikit yang datang menumpaskan beribu-ribu manusia yang dalam keadaan alpa tiada terduga dari rakyat jelata hinggalah sang pemimpin pada ketika itu.
Kini, segalanya kosong. Yang tinggal hanyalah saki-baki sahaja. Semuanya berpecah-belah. Tiada lagi empayar yang menerusi legasi si Wilayah. Sang pemimpin yang dihormati pada satu ketika dahulu tidak muncul-muncul sehinggalah hari ini. Tentera-tentera yang senjatanya doa dan pertahannya puasa tidak lagi dijumpai. Rakyat jelata yang dahulunya semuanya bersatu-padu berkasih sayang sukar sekali ditemui.
Situasi ini terus berlaku sehingga hari ini. Generasi-generasi kemudian Wilayah semakin hari semakin bertambah, namun, masing-masing dengan hal masing-masing. Tidak seperti dahulu lagi. Satu negara dikepung musuh, negara-negara lain hanya membisu. Tidak seperti dahulu lagi. Negara jiran di sebelah merana meminta pertolongan, negara-negara sekelilingnya hanya melihat dengan sebelah mata. Tidak seperti dahulu lagi. Masing-masing dengan fikiran, "Eh, yang ditangkap itu emak dia, bukan emak aku. Buat apa mahu bersusah payah membantu!". "Eh, yang dibom itu negara dia lah, bukan negara kita. Kita jangan jaga tepi kain negara orang! Kita hanya perlu maju ke hadapan!". Tidak seperti dahulu lagi.
Dan ini akan berterusan. Berterusan lanjut.
Suatu hari, Anda dapati Anda ialah pewaris sang pemimpin empayar Wilayah yang gemilang itu. Apa yang anda buat?
No comments:
Post a Comment