Sunday, December 23, 2012

Cerpen : " Apa yang dah aku buat?! "


          Tiupan angin monsun bulan Disember di Terengganu tidak kurang sejuknya seperti hembusan angin di wilayah barat Australia. Rizal yang sedang berbasikal pulang daripada sekolah memandu di hujung kampung itu bukan main lagi mengayuh basikalnya dengan laju, seolah-olah meniru lagak gaya atlet negara, AzizulHasni Awang. Dia tahu akan bahaya yang bakal menimpanya jika diteruskan dengan kayuhan selaju itu, namun dia terpaksa menempuhi hujan lebat bersama tiupan angin sejuk yang dahsyat itu kerana tidak mahu membuatkan ayah dan mak risau di rumah.

          Basikal ‘Colnago for Ferrari Di2’ itu terus dikayuhnya sehinggalah selamat tiba di rumah. Rizal mendapati mak sudah berada di depan pintu. Seperti yang dijangkanya, air muka mak menjelaskan kerisauan terhadap dirinya.

          “ Mak, mak buat apa kat sini. Sejuk nanti. Jom masuk dalam. “, ujar Rizal.

          “ Mak risau. Mak tau, kalau hujan lebat-lebat macam ni pun, Rizal mesti redah jugak. Dah banyak kali mak pesan. Rizal tak nak dengar. Bahaya Rizal! Lain kali berhentilah kedai makan dulu ke, cari tempat teduh dulu. "

          “ Yalah mak. Lain kali Rizal buat macam tu ”, Rizal jawab dengan sopan cuba menenangkan kerisauan mak.



          Rizal tahu, dialah satu-satunya anak mereka. Anak tunggal. Rizal tahu, mak ayah sangat sayang akannya. Rumah mewah, basikal mahal, baju-baju berjenama, makanan yang setiap harinya bertukar-tukar menunya, semuanya disebabkan sayangnya orang tuanya kepadanya. Namun, semua itu bukanlah Rizal yang minta. Rizal tidak pernah menyalah gunakan kasih sayang orang tuanya. Rizal tidak pernah sesekali menyusahkan orang tuanya dengan meminta segala macam.

          Kalau dahulunya, di zaman persekolahannya, dia telah memasang niat untuk membalas jasa kedua ibu bapanya dengan keputusan peperiksaan SPM dengan cemerlang. Namun, selepas tamat persekolahannya, cuti selama 3 bulan sementara menunggu keputusan peperiksaan SPM itu telah membuatkannya seolah-olah tiada arah dan tujuan hidup. Bangun pagi, pergi ke sekolah memandu, pulang ke rumah, tonton televisyen rancangan drama Korea, di sebelah petangnya bermain ‘video-game’ di komputer, dan di sebelah malamnya pula, keluar lepak dengan kawan-kawan yang tidak terlibat dengan program latihan khidmat negara, PLKN.

          Inilah kitaran hidup Rizal selepas menamatkan zaman persekolahannya. Ibu bapanya pula tidak kisah dengan apa yang dilakukan olehnya kerana inilah gaya hidup atau ‘trend’ pemuda dan remaja hari ini. Lagi, apa yang dibuat oleh anak kesayangan mereka itu tidak ada salahnya di pandangan mata mereka. Hanya dengan melihat Rizal gembira dan riang sudah mampu mengukir senyuman di wajah mereka.

          Ayam berkokok tandanya pagi. Rizal berasa hairan kerana dia tidak pernah mendengar kokokan ayam selama dia tinggal di rumah itu. Lebih-lebih lagi, matahari kelihatan sudah naik tinggi. Rizal menguap dan mengeluh.

          “ Ah, hari ni mahu buat apa, eh? ”

          Rizal sambung tidur lagi. Kali ini, azan Zohor pula membuatkan Rizal bangun dari tidur. Rizal mengeluh, lagi. Hari berlalu seperti biasa, begitu saja. Kosong.

          Malam itu, Rizal masuk ke bilik tidurnya awal walaupun dia tidak berasa mengantuk lagi. Biasanya, dia akan ber’chat’ dengan kawan-kawannya di ‘facebook’ ataupun bermain ‘game-online’ sampai lewat malam. Tetapi, kali ini, Rizal baring di atas katil, sambil matanya merenung kipas di siling walaupun fikirannya melayang jauh.

          “ Apa yang aku nak buat esok? Apa yang aku nak buat lusa? Apa yang patut aku buat? Aku dah buat semua yang aku nak buat. Aku dah tak tahu nak buat apa! ”, Rizal bermonolog dalaman.

          Dia merenung ke luar tingkap yang dibukanya tadi.

          “ Sebenarnya, apa yang aku patut buat? Apa tujuan hidup aku,eh? Tak terfikir pulak aku selama ni. Kenapa aku diciptakan, eh?”

          Soalan-soalan itu terus bermain dalam fikiran Rizal. Dia seolah-olah tidak tidur malam itu, gara-gara soalan-soalan tentang hidupnya. Selesai menunaikan solat Subuh, Rizal terus berfikir, dan berfikir. Rizal tidak dapat tahan lagi dengan kerunsingan soalan-soalan itu, lalu segera mendapati mak dan ayahnya.

          “ Kenapa ni Rizal? Kenapa Rizal tanya soalan macam tu? ”, tanya mak dengan kerisauan.

          “ Takde la. Tiba-tiba muncul soalan ni dalam fikiran Rizal. Ayah tahu tak tujuan hidup kita sebenarnya? ”, tanya Rizal dengan mengharapkan jawapan dari ayahnya.

          “ Er, buat baik dengan semua orang? Em, berjaya sampai menara gading? ”

          Rizal diam dan hanya mengangguk. Mak dan ayahnya melihat sesama sendiri dengan penuh kehairanan akan sikap anaknya yang tiba-tiba datang dengan soalan itu. Walaubagaimanapun, Rizal masih tidak puas hati dengan jawapan ayahnya tadi. Dia terus memikirkan jawapan yang lebih tepat.

 “Aha!”

          Rizal mencapai i-phone 5 miliknya lalu menelefon bekas gurunya, Cikgu Saiful yang kini menyambung pelajarannya pada peringkat ‘Master’ di Universiti Malaya. Dia terlalu rapat dengan guru muda itu dan menganggapnya sebagai abangnya sendiri.

          “ Hello! Abang!”

          “ Hello! Eh, Rizal! Kenapa tiba-tiba call  ni? ”

          “ Rizal ada soalan nak tanya ni, boleh tak? ”

          “ Eh? Soalan apa? Cepat sikit, cikgu ada class  5 minit lagi ni. ”

          “ Abang sekolah agama dulu kan. Em, semalam Rizal tak boleh tidur sebab fikir tentang benda ni. Tentang tujuan hidup. Apa tujuan hidup kita, eh? ”

          Cikgu Saiful ketawa kecil.

          “ Apa lah Rizal ni. Ish, ish, ish. Umur dah 17, tapi perangai tak ubah-ubah macam dulu. Suka sangat buat cikgu terkejut dengan soalan-soalan pelik kan? Ingatkan soalan apa lah tadi. Sampai call  cikgu tiba-tiba ni. Macam ni lah, Rizal buka al-Quran, cari surah al-Baqarah ayat 30, dan surah az-Zaariyaat ayat 56, ok? Cikgu nak kena cepat ni, boleh? ”

          “ Ok. Sibuk betul abang ni! Orang tengah excited nak tau benda ni! Rizal dah tak tau nak tanya kat siapa ”

          “ Eh, marah betul. Rizal kalau dapat result  gempak SPM nanti, datang lah kat sini. Baru tau sibuk ke tak. Lagipun, ‘abang’ kan ada kat sini, senang sikit nak jawab soalan-soalan pelik Rizal ni ”, ujar Cikgu Saiful sambil ketawa kecil.

          Sebaik sahaja perbualan menerusi telefon mereka ditamatkan dengan ucapan salam, Rizal bergegas mencari Al-Quran yang seminggu sekali dibacanya, iaitu ketika malam Jumaat untuk membacakan surah Yaasin. Dia membelek helaian demi helaian mencari surah dan ayat yang diberitahu oleh abangnya tadi.

          “ Oh! ”

          Rizal menjumpainya. Dia membacanya lalu menarik nafas panjang. Kini, dia sudah mendapat gambaran kecil tentang tujuan hidupnya. Dia tahu bahawa masih banyak liku perjalanan yang wajib ditempuhinya, sebagai seorang bergelar manusia. Dia tahu, hidupnya bukan sekadar kitaran yang dia sudah lakukan hampir selama 3 bulan itu. Ia jauh lebih daripada itu.
         
         
         
          

No comments:

Post a Comment

Ratings and Recommendations by outbrain